Friday 19 August 2016

Karangan spm...kemahiran remaja perlu kuasai

Kemahiran-kemahiran yang diperlukan oleh remaja dalam mengharungi kehidupan zaman globaisasi.

Huraikan kemahiran itu.

Kemahiran remaja bermaksud kelebihan yang dimiliki oleh seseorang remaja itu melalui pendidikan yang diterimanya. Remaja yang berkemahiran boleh mengharungi cabaran kehidupan dengan lebih baik dan mudah terutama apabila mereka dewasa kelak. Pihak media massa juga sering menguar-uarkan kepentingan remaja memiliki kemahiran ini dengan menyiarkan pelbagai berita tentang kemahiran ini. Jadi, apakah kemahiran-kemahiran yang harus dikuasai oleh remaja kita itu semua?

Kemahiran utama yang harus dimiliki oleh remaja kita ialah mempunyai kebolehan berbicara dalam dwibahasa itu. Mereka boleh menguasai bahasa asing ini dengan memasuki kelas bahasa secara peribadi atau  berbual-bual dengan rakan yang berlainan keturunan itu ketika berada di sekolah. Kemampuan berbahasa selain bahasa ibunda ini memberikan satu keyakinan diri kepada remaja dan peluang untuk memperoleh sesuatu kerjaya pada masa depan juga lebih cerah. Ringkasnya, kemampuan untuk bercakap dalam pelbagai bahasa boleh menjadikan diri remaja itu lebih berketerampilan dalam menjalani kehidupan masyarakat moden itu.

Selain itu, remaja yang bijak akan memahirkan diri mereka dalam teknik berkomunikasi yang betul. Kebolehan bertutur ini boleh dikuasai dengan baik menerusi amalan bertutur dengan rakan, guru, dan masyarakat secara umum tanpa mengira situasinya. Kebolehan berkomunikasi bukan sahaja memudahkan remaja meluahkan perasaan mereka tetapi juga kreativiti tertentu dan memahami situasi yang sedang berlaku di depan mereka itu. Jelaslah, kemahiran berkomunikasi ini akan membawa remaja mengharungi kehidupannya dengan lebih yakin terutama alam kerjaya yang penuh celaru tersebut.

Aspek kemahiran kepemimpinan juga penting dikuasai oleh remaja dalam era globalisasi ini. Kelebihan aspek ini dikuasai apabila remaja menyertai pelbagai aktiviti yang dianjurkan oleh pihak sekolah terutamanya aktiviti berunsur persatuan dan pasukan beruniform itu. Remaja akan dididik cara untuk menguruskan sesuatu projek dengan lancar dan efektif sambil memahami ciri-ciri manusia secara umumnya. Jadi, remaja akan mampu untuk meneruskan kehidupan masa depan mereka dengan penuh keyakinan kerana sedar diri mereka memiliki kemahiran yang diperlukan tersebut.

Dunia zaman ini dikuasai oleh kemajuan teknologi komunikasi berunsurkan komputer, telefon bimbit, dan satelit yang harus difahami oleh remaja. Mereka hendaklah membiasakan diri menggunakan peralatan komputer dan sebagainya untuk memastikan pengetahuan mereka terhadap teknologi komunikasi moden begitu mendalam. Kelebihan dalam situasi ini memudahkan remaja untuk melakukan pelbagai perkara terutama yang melibatkan penggunaan teknologi komputer pada masa depan itu. Lantaran itu, remaja tidak akan tersisih daripada pelbagai kejadian yang melanda dunia ini apabila mereka menguasai kemahiran dalam teknologi komunikasi tersebut.

Akhir sekali, remaja hendaklah memiliki kemahiran berfikir secara rasional dan logik dalam menyelesaikan sesuatu masalah itu. Kemahiran ini mampu dikuasai apabila remaja diajar agar melihat semua sudut pandangan sebelum membuat keputusan terhadap sesuatu isu yang melanda diri mereka itu oleh pihak ibu bapa dan guru. Pemikiran rasional ini akan menjadikan remaja tidak akan melakukan sesuatu yang bertentangan dengan budaya, undang-undang, dan perasaan pihak lain di negara ini. Akibatnya, suasana harmoni di negara ini akan terus wujud kerana rakyat kita mampu untuk menyelesaikan semua kemelut yang berbangkit secara rasional dan mengikut fakta yang sahih itu.

Natijahnya, semua kemahiran yang dihuraikan tadi perlulah dimiliki oleh remaja kita tanpa banyak dalih pula. Pihak ibu bapa dan sekolah perlulah merangka pelbagai aktiviti yang bersesuaian supaya generasi muda itu menerima latihan yang betul untuk menguasai semua kemahiran itu. Kegagalan kita sebagai masyarakat untuk menyediakan remaja dalam mengharungi cabaran hidup masa depan merupakan satu kesalahan yang sukar untuk dimaafkan. Bak kata pepatah pemuda harapan negara, pemudi tiang negara yang membuktikan betapa tingginya harapan masyarakat terhadap kemampuan remaja kita untuk meneruskan perjuangan memajukan negara ini menjadi sebuah negara moden kelak.


=============================================================

Pilih satu daripada soalan di bawah dan tulis sebuah karangan yang panjangnya lebih daripada 350 patah perkataan.

Remaja hari ini berdepan dengan pelbagai tekanan dalam usaha memenuhi keinginan ibu bapa dan guru untuk menjadi pelajar yang cemerlang. Stres yang dihadapi telah menyebabkan ada remaja yang mengambil tindakan yang tidak sesuai. Jelaskan usaha-usaha yang perlu anda lakukan untuk menangani stres.

Zaman remaja diakui sebagai zaman yang sangat indah namun penuh pancaroba. Remaja akan meneroka pelbagai sudut kehidupan demi mencari hala tuju mereka. Dalam tempoh pengembaraan itu, remaja akan berdepan dengan pelbagai masalah yang menguji ketabahan mereka. Ada remaja yang berjaya menangani masalah dengan baik namun ada juga yang tewas dalam kancah emosi sehingga mencetuskan permasalahan yang lebih serius. Remaja seperti inilah yang perlu dibantu agar mampu menangani tekanan emosi dalam jiwa mereka dengan cara yang bijak.

Apabila dibebani masalah, remaja lebih cenderung untuk melarikan diri daripada masalah dengan mencetus masalah lain. Contohnya, remaja selalu berdepan dengan konflik keluarga kerana pandangan yang berbeza. Jika itu berlaku, mereka mengambil jalan mudah dengan keluar melepak bersama rakan-rakan yang mungkin mendorong mereka untuk melakukan perkara-perkara negatif. Mereka mula tidak pulang ke rumah kerana tidak ingin bertembung dengan punca masalah di rumah. Hakikatnya tindakan itu tidak bijak kerana langkah terbaik adalah dengan mencari punca masalah tersebut dan berbincang bersama-sama agar yang keruh dapat dijernihkan. Jelas bahawa merungkai benang yang kusut adalah lebih baik daripada terus menambah masalah.

Ada juga remaja yang gemar memendam rasa apabila berdepan dengan masalah. Mereka akan menjadi pendiam dan jika keadaan itu dibiarkan berterusan, kemungkinan mereka akan menjadi murung. Kemurungan yang berlebihan akan membawa kepada masalah jiwa. Perkara ini boleh dielakkan jika remaja mencari seseorang yang boleh dipercayai untuk meluahkan masalah mereka. Teman baik merupakan orang yang sepatutnya dijadikan sandaran namun remaja perlu bijak memilih orang yang paling dipercayai. Walaupun orang yang mendengar tidak mampu membantu, sekurang-kurangnya luahan masalah itu dapat meringankan kekusutan yang bermain di minda. Melepaskan apa yang terbuku di jiwa merupakan terapi paling baik dalam menangani stres.

Selain itu, cara yang tepat untuk mengatasi stres adalah dengan mendekatkan diri kepada Tuhan. Berdoa dan meluahkan rasa hati kepada Tuhan dapat meringankan bebanan. Dengan mendekatkan diri kepada Tuhan, remaja dapat menerima hakikat bahawa masalah yang datang itu adalah dugaan daripada Tuhan untuk menguji tahap keimanan seseorang. Dugaan itu akan dipandang dari sudut yang positif jika remaja menerima segala masalah sebagai ketentuan atau takdir daripada Tuhan. Maka mendekatkan diri kepada Tuhan dengan beribadat merupakan cara yang paling tepat untuk menghilangkan keresahan hati dan remaja boleh memohon petunjuk daripada Tuhan untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Kerunsingan terbukti dapat dihindarkan atau diatasi dengan cara beriadah. Jika ada masalah, luangkan masa untuk bersenam atau berjalan-jalan di kawasan riadah yang tenang. Ini selaras dengan slogan badan cergas otak cerdas. Aliran darah yang lancar hasil aktiviti riadah dapat mengurangkan tekanan pada minda yang berserabut dan kemungkinan remaja dapat melupakan seketika masalah yang sedang ditanggung. Remaja juga patut mengajak rakan atau ahli keluarga untuk bersama-sama beriadah dan hasil komunikasi ketika sesi riadah dapat membantu meringankan masalah. Tuntasnya, proses biologi yang tercetus ketika beriadah dapat memberi ilham kepada remaja untuk menyelesaikan masalah emosi yang ditanggung.

Kesimpulannya, stres tidak boleh dibiarkan menguasai diri kerana implikasinya terlalu besar. Orang yang sedang dalam tekanan yang keterlaluan selalunya tidak dapat mengawal diri sendiri. Justeru, jika kita sedang mengalami stres, berusahalah untuk mengatasinya secepat mungkin. Begitu juga jika kita melihat rakan yang sedang dalam tekanan, carilah jalan untuk membantunya mengatasi masalah tersebut. Cegah sebelum parah adalah jalan yang terbaik sebelum nasi menjadi bubur.


==========================================================

No comments:

Post a Comment